Isnin, 24 Disember 2012


PERKATAAN "SAYYIDINA" PADA SELAWAT

Perkataan Sayyid dalam bahasa Arab bererti "penghulu". Perkataan sayyidina bererti "penghulu kami". Perkataan sayyid biasanya disebut untuk merujuk kepada orang yang dihormati, disanjung dan kepada seorang pemimpin. Apabila perkataasayyidina itu dirujuk kepada Nabi Muhammad SAW maka ini bererti bahawa seseorang itu memuliakan baginda dan mengangkat martabatnya kepada satu darjat yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai Nabi dan Rasul.

Allah SWT menyuruh orang yang berIman kepada Nabi agar memuliakannya, menolongnya dan menurut al-Qur'an yang telah diturunkan bersamanya. Mereka itulah orang yang beruntung [al-A'raf :157].

Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Bahawasanya Allah SWT dan Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang berIman, hendaklah kamu berselawat ke atas Nabi dan memberi salam kepadanya sebaik-baik salam."

[Al-Ahzab : 56]


Rasulullah SAW adalah manusia yang paling mulia berbanding dengan makhluk-makhluk lain kerana rahmat juga penghormatan yang diberi oleh Allah SWT. Allah SWT memberi penghormatan kepada Rasulullah SAW kerana keistimewaan yang diberi oleh-Nya seperti yang tersebut dalam sebuah Hadis daripada Abu Hurairah r.a., ia berkata, bahawa baginda telah bersabda yang bermaksud :

"Aku adalah penghulu anak Adam pada hari kiamat kelak. Orang yang paling awal sekali muncul daripada kubur dan orang yang pertama memberi syafaat dan dibenarkan memberi syafaat."

Rasulullah SAW memberitahu tentang hakikat dirinya yang sebenar, iaitu "penghulu anak Adam" agar sekalian umat tahu mengenainya. Dengan pemahaman demikian, manusia akan menghormatinya. Khabar ini bukan lahir kerana riak, tetapi untuk menjalankan perintah Allah, iaitu menyuruhnya agar mengkhabarkan nikmat Allah yang diterimanya itu.

Dalam sebuah Hadis lain, baginda bersabda yang bermaksud:

"Pada hari kiamat kelak, saya adalah Imam Nabi-nabi, jurubicara mereka dan pemberi syafaat mereka. Ini dikhabarkan bukan untuk membangga diri."

[HR Turmizi]Hadis ini menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW itu pada hari kiamat kelak bukan sahaja penghulu anak Adam, tetapi juga Imam dan jurubicara Nabi-nabi sebelumnya. Iaitu orang yang memberi permohonan syafaat kepada Allah SWTuntuk menolong seluruh manusia, termasuk Nabi-nabi.

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah Rasul pilihan. Penyudah Nabi-nabi. Tidak ada Nabi selepas daripadanya sehinggalah hari kiamat. Syariat yang dibawa olehnya adalah syariat terakhir, tidak berubah sehingga hari kiamat.

Allah Ta'ala berfirman, maksudnya :

"Muhammad itu bukan bapa salah seorang dari lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan Nabi penutup."

[Al-Ahzab : 40]

Ketetapan ini adalah merupakan satu kemuliaan kepada baginda Rasulullah SAWNabi-nabi yang terdahulu diutus hanya untuk kelompok manusia pada zamannyadan untuk waktu yang terbatas, tetapi Nabi Muhammad adalah utusan untuk seluruh manusia yang kekal sehingga akhir zaman.

Firman Allah Ta'ala yang berikut [al-Fath : 10] memperkukuh lagi kenyataan di atas, di samping memperlihatkan kemuliaan dan penghormatan kepada baginda iaitu yang bermaksud :

"Sesungguhnya mereka yang membai'ah akan dikau (wahai Muhammad) adalah mereka yang membai'ah Allah."

Al-bai'ah yang dimaksudkan di sini ialah mengikat janji atau ikrar setia.

Orang yang berbuat demikian kepada Nabi Muhammad adalah seperti sudah mengikat janji setia kepada Allah SWT. Satu penjelasan tentang penghormatan Allah SWT kepadanya, iaitu insan yang dijadikan khalifah di muka bumi.

Pada satu ketika, sekumpulan orang Yahudi telah datang menemui Rasulullah SAW menyatakan bahawa mereka menyintai Allah dan Allah juga menyintai mereka. Kerana itu mereka tidak perlu beriman kepada Nabi Muhammad. Allah SWT tidak menerima pengakuan mereka.

Allah SWT menyatakan bahawa syarat untuk menyintai diri-Nya ialah denganmengikut Nabi Muhammad SAW. Hal demikian tersebut jelas di dalam firmanNya,yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu (benar-benar) kasihkan Allah, ikutlah ( kenalilah ) daku, nescaya Allah, mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu."

Kenyataan-kenyataan di atas membuktikan bahawa Rasulullah SAW itu adalah makhluk yang paling mulia berbanding dengan makhluk-makhluk yang dimuliakan oleh Allah SWT termasuk Malaikat.

Kerana kemuliaannya itulah maka kita diperintahkan agar menghormati dan memuliakannya. Malah kalau kita teliti, ternyata bahawa Allah SWT sendiri, iaitu Zat yang paling tinggi lagi agung pun memuliakan baginda.

Di antara cara yang terbaik untuk memuliakannya ialah dengan menyebut dengan sebaik-baik sebutan, seperti menyebut perkataan sayyidina sebelum perkataan "Muhammad" ketika berselawat atau sembahyang.

Menurut Imam-imam fikah yang muktamad dalam mazhab asy-Syafie, sebutan sayyidina sebelum sebutan nama "Muhammad" dalam selawat itu adalah lebih afdhal atau lebih utama, kerana ia merupakan satu penghormatan dan kemuliaan kepadanya, yang sesuai dengan martabat dirinya yang begitu tinggi.

Tersebut dalam kitab Ianatut Talibin (kitab yang mensyarahkan kitab Fathul Muin), bahawa sebutan as-siadah (sayyidina) itu adalah lebih utama, keranabersopan terhadap Nabi itu adalah lebih baik.

Bermaksud bahawa mengucap selawat ke atas Nabi tanpa menyebut perkataan sayyidina sebelum perkataan "Muhammad" itu juga dibolehkan, tetapi kurang sopan.

Menurut Syeikh Syahabuddin al-Qalyubi, bahawa tidak rosak menambah perkataan sayyidina sebelum nama Muhammad (pada tasyahud dan selawat). Malah itu adalah yang paling afdhal kerana sebutan tersebut adalah perbuatan memulia dan menghormati Nabi dan menjalankan perintah Nabi.

Menurut al-Qalyubi, menyebut perkataan sayyidina itu adalah cara berselawat seperti yang diperintahkan di samping menghormati dan memuliakan Nabi Muhammad SAW.

As-Syeikh Shamsuddin ar-Ramli menyebutkan bahawa sebutan perkataan sayyidina pada selawat itu adalah paling afdhal. Dengan berbuat demikian kita telah melakukan sesuatu yang disuruh oleh Rasulullah SAW dan telah mengucapkan sesuatu yang benar, iaitu berbicara atau menyebut nama baginda dengan sopan dan beradab.

Begitu juga pendapat asy-Syeikh Muhammad pengarang kitab Dalailul Khairat.Selain menggunakan perkataan sayyidina perkataan Maulana dan lain-lain perkataan yang menunjukkan kemuliaan, penghormatan dan membesar- besar kan (bukan mendewa-dewakannya) Nabi ketika berselawat adalah lebih afdhal digunakan.

Penggunaan kalimah sayyidina ini adalah merupakan satu fatwa yang telah lama dan masyhur di kalangan Ulama' Islam.

Firman Allah Ta'ala di dalam al-Qur'an, bermaksud :

"Jangan kamu memanggil Rasul seperti panggilan di antara kamu."
[An-Nur : 31]


Dalam sebuah Hadis daripada Abdullah bin Masid r.a., ia berkata, RasulullahSAW telah bersabda yang bermaksud :

"Apabila kamu berselawat kepada aku, maka berselawatlah dengan sebaik- baiknya, maka sesungguhnya kamu tidak tahu bahawa kemungkinan selawat itu dihadapkan kepada aku. Sebutlah : Ya Allah, turunkanlah rahmat dan berkat Engkau untuk penghulu sekalian Rasul, Imam sekalian orang yangbertaqwa, Nabi yang paling akhir, hamba-Mu dan Rasul-Mu,

Imam segala macam kebajikan, pembimbing segala macam kebaikan, Rasul yang membawa rahmat."

Hadis ini mengajar kita agar menggunakan perkataan seperti (dalam bahasa Arabnya) Sayyidul Mursalin, Imamal Muttaqin, Khatamun Nabiyyin, Rasuluka,Imamal Khair dan Rasulurrahmah.

Wallahu ta'ala a'lam…….

Wassalamu…….


Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan